Wow, baklava RM4,200 sepotong

NIAT asal hanya mahu memperkenalkan manisan dari Timur Tengah iaitu Baklava, sejenis kuih manisan diperbuat daripada tepung, kekacang dan manisan kepada masyarakat.

Namun, selepas menaik taraf pembuatan baklava dengan lapisan emas 24 karat sehingga mencecah nilai RM4,200 (AS$1,000) sepotong, ia mencetus perbualan hangat peminat manisan itu di beberapa negara seluruh dunia.

Pembikinnya, Abdulrahman Suud, 35, memberitahu sejak baklava ‘mewah’ itu tular, ramai bertanya mengapa manisan itu mahal dan siapa saja sanggup membelinya.

“Ramai yang datang takut nak makan atau sentuh. Ada tanya pasal halal haram tapi itulah ideanya, iaitu untuk masyarakat bercakap mengenainya.

“Setiap hari pelanggan datang ke kedai akan bertanya, mengambil foto dan berswafoto kerana tidak semua mampu membelinya.

“Tapi dengan cara itu (menjadikan ia mewah), saya dapat memberi penerangan selain kesedaran kepada masyarakat mengenai keistimewaan manisan itu,” katanya.

Abdulrahman menunjukkan baklava berharga RM4,200 sepotong. FOTO Syakirah Azhar.
Abdulrahman menunjukkan baklava berharga RM4,200 sepotong. FOTO Syakirah Azhar.

Jejaka berasal dari Iraq yang pernah berlakon dalam beberapa produksi tempatan antaranya filem Rempit Sampai Langit pada 2017, berkata setakat ini hanya tiga pembeli pernah membeli baklava mewah berharga RM4,200 itu.

Menurutnya, tiga pembeli itu ialah wanita dari Indonesia dan pelanggan selebihnya hanya membeli pada harga minimum RM200 sepotong.

“Baklava paling mahal sebab saiz dan berat. Ia bergantung kepada permintaan pelanggan sama ada mahu lapisan emas 18 karat atau 24 karat.

“Apapun, tujuan manisan mewah ini dihasilkan lebih kepada kesedaran mengenai kewujudan ketamadunan makanan dari Timur Tengah,” katanya.

Pada masa ini, kafe manisan diusahakan Abdulrahman dan adik beradiknya hanya beroperasi di Jakarta (Indonesia) kerana melihat pasaran di negara itu masih baru untuk manisan dari Timur Tengah.

Bagaimanapun dia mengakui sering berulang-alik dari Malaysia ke Indonesia kerana masih aktif dalam aktiviti seni di sini.

“Walaupun bertapak di Malaysia sebagai pelakon di bawah Zeel Production, saya belum memutuskan bila akan buka operasi di Malaysia kerana di sini, pasarannya sudah bersifat global.

“Bagaimanapun, pembeli luar selalunya akan membuat tempahan dan akan dihantar menggunakan khidmat penghantaran khas,” katanya.

Selain Indonesia, dia turut menerima tempahan dari Malaysia, Singapura, Brunei, Jepun, Jerman, Perancis sehinggalah Amerika Syarikat.

Kebanyakan pelanggan terdiri daripada golongan bangsawan, keluarga diraja, ahli perniagaan dan selebriti.Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 9:41pm

Baklava termahal berharga RM4,200 sepotong. FOTO Syakirah Azhar.
Baklava termahal berharga RM4,200 sepotong. FOTO Syakirah Azhar.
Tags: No tags

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *